Pada tahun 1987, SRI Al-Amin telah berpindah ke bangunan 2 tingkat di Jalan Raja Uda, Kampung Baru Kuala Lumpur. Setahun kemudian sekolah ini telah berpindah ke Jalan Gurney 2 dan 3 Kuala Lumpur . Ia menjadi tapak baru dan Al-amin kekal di sini untuk beberapa tahun. Memandangkan perkembangan yang menggalakkan serta untuk menyediakan pendidikan Islam bagi murid-murid yang datang dari kawasan Gombak dan Selayang, sebuah lagi cawangan dibuka di Jalan Kampung Kerdas Satu, Gombak Selangor. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Rendah Islam Al-Amin Gombak.
Pada tahun 1990, Sekolah Menengah Islam Al-Amin pula ditubuhkan di Taman Setiawangsa Kuala Lumpur sebagai kesinambungan pendidikan Islam di peringkat menengah bagi murid-murid generasi pertama Sekolah Rendah Islam Al-Amin yang bergabung dengan pelajar-pelaar perintis dari SRI Hira�.
Tahun 1991 mencatat sejarah bagi Sekolah Rendah Islam Al-Amin Kuala Lumpur. Sekolah yang selama ini ditempatkan di lima buah bangunan telah berpindah ke satu bangunan empat tingkat di Lot 1, Lorong Enggang 4, Taman Keramat, Kuala Lumpur. Bangunan ini mempunyai 12 buah bilik darjah.
Sementara itu, dengan berkat kerjasama dan kesungguhan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan kaum Muslimin amnya, tanah seluas 4 ekar dibeli melalui penjualan lot wakaf pada September 1989 dengan harga RM170,000 di Lot 1078, Jalan Sungai Pusu, Batu 8 3/4, Gombak, Selangor.
Projek pembangunan dimulakan pada November 1990 dengan pembinaan Fasa 1. Bangunan dua tingkat ini telah digunakan sejak Mac 1992 dengan kos pembinaannya ialah RM389,314.
Pembangunan Fasa 1 seterusnya disusuli dengan pembinaan musolla yang juga digunakan sebagai Dewan Serbaguna (RM60,000), kantin (RM15,000) dan Bengkel Kemahiran Hidup (RM38,000). Keseluruhan pembangunan Fasa 1 tersebut telah siap pada akhir 1993.
Kerja-kerja luar bangunan sekolah yang melibatkan pembinaan pagar sekeliling kawasan sekolah, penyediaan padang permainan dan lain-lain yang menelan belanja RM30,000 juga telah disiapkan.
Pembangunan yang seterusnya ialah pembinaan bangunan Fasa 2 iaitu sebuah bangunan empat tingkat dengan 10 bilik darjah, Pusat Sumber, makmal dan asrama sementara yang telah siap digunakan pada pertengahan 1994. Kos pembinaannya adalah berjumlah sebanyak RM500,000.
Pada bulan Julai 1996, pembangunan Fasa 2 diteruskan dengan pembinaan sebuah lagi bangunan 4 tingkat yang akan menempatkan musolla (untuk menggantikan musolla lama yang dijadikan dewan makan dan dewan serbaguna), asrama serta kediaman Pengetua dan guru. Bangunan ini berharga RM825,000 dan telah siap pada penghujung tahun 1996.
Memandangkan permintaan yang bertambah untuk kemasukan baru, pembangunan fasa seterusnya akan disambungkan. Lokasi dan bentuk pembangunan masih di dalam proses rangkaan yang sedang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pembangunan Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin.
| Halaman Awal | Seterusnya |